Jumaat, 16 November 2012

1434H



Setahun lebih meninggalkan blog ini yang pernah menyimpan berbagai rasa. Pernah juga menjadi rakan karib sewaktu uncle bersendirian dulu. Bercadang untuk mengaktifkannya merupakan satu perjuangan juga. Maklumlah lama ditinggalkan dek penangan ‘facebook’ yang mudah di’update’ bila-bila masa. Umpama bertemu rakan baru, sahabat lama ditinggalkan sedangkan sahabat lama pernah menjadi tempat bermanja dan mengadu nasib. Begitu mudahkan, perkara sekecil ini tetapi sebenarnya banyak mempengaruhi kehidupan kita hari ini. Kehidupan yang dibina dengan kesilapan masa silam menjadikan kita hari ini lebih baik.

1434H bertamu. Usia turut bertambah. Pengalaman makin luas dan besar. Tanggungjawab juga lebih berat. Ingin seimbangkan kehendak dunia dan juga akhirat. Rakan-rakan dan adik-adik juga semakin ramai. Saling ingat-mengingati sangatlah perlu dalam adab bersahabat. Tidak mampu bertindak dalam perbuatan, melalui kalam pun harap dapat memberi bekas dihati. Semakin ramai yang ‘action’ semakin ramailah insan di sekeliling kita sentiasa ‘on track’ apabila berhadapan dengan Allah nanti.  

Seperti tahun-tahun sebelumnya, di awal tahun uncle ingin mengajak teman-teman agar dapat memperbaharui niat dan juga azam. Walaupun ramai memiliki azam dan matlamat tahun lalu yang tidak tertunai, tidak bermakna azam baru tak perlu dibuat. Ramai orang hari ini berjaya mengatasi kesulitan lalu dengan mempunyai perancangan yang rapi dan jelas. Apabila persiapan sudah wujud maka tindakan mudah diatur. Kita dah tahu kelemahan lalu kenapa tidak tercapai segala impian, maka gunakan jalan atau cara baru untuk pastikan segalanya OK dan terbaik. Apabila menjadi rutin, seolah-olah kita dapat rasakan yang segalanya Allah mudahkan buat kita.

Selain azam dan matlamat, awal tahun ini semai perasaan baik sangka pada Allah dan manusia. Positifkan segala yang dihati, minda dan sentiasa berlapang dada. Luangkan masa untuk mengadu pada Allah segala kebaikan dan kesulitan. Itu yang sepatutnya berbanding mengadu di laman sosial, yang mana kadang-kadang menimbulkan prasangka buruk orang lain pada kita. Niat mungkin dah betul, tetapi mungkin disalah ertikan. Mintalah apa sahaja pada Allah kerana Allah Maha Pemberi dan jangan pula lupa buat apa yang Allah suruh. Pada manusia jaga perhubungan. Abaikan orang-orang yang suka mengkritik kita. Kita hanya perlu nasihat atau kata-kata yang baik sahaja. Doakan juga ahli keluarga dan sahabat-sahabat kita dalam keadaan sihat. Ibu bapa harus dijaga sebaiknya. Ikat dan sentiasa memperbaiki hubungan dengan mereka. Anak-anak harus sedar, bahawa nadi kekuatan ibu bapa adalah pada anak-anaknya. Dulu sedari kecil setiap saat, akan mereka pastikan kesihatan kita, tidur kita, makan kita, kebajikan kita sentiasa terjaga. Segalanya untuk kita. Dewasa, mereka tersenyum kala melihat kegembiraan yang kita kecapi. Kita masih dijaga, Cuma dari jauh. Elakkanlah mereka terasa hati. Semakin lama, mereka pula perlukan perhatian dan jagaan kita. Buatlah sebaiknya.

Ada peluang, carilah ilmu sebanyak-banyaknya. Boleh sambung belajar, melalui buku-buku, berguru, kursus-kursus jangka panjang dan pendek, majlis-majlis ilmu atau seumpamanya. Tak rugi andai kita terus belajar. Ilmu yang diperolehi ada gunanya nanti. Perkara yang baik memang sukar hendak dibuat. Tetapi apabila dah menjadi kelaziman, kita akan dapat kecapi kepuasannya tersendiri secara impak maksima.

Semoga apa yang kita lakukan, korbankan pada tahun ini sentiasa berada dalam redha Ilahi. J

Tiada ulasan: