Khamis, 16 Oktober 2008

Cabaran Mendidik Insan..

Salam untuk semua..
Bro rasa sedih hari ini tatkala menonton berita TV3 malam ni. Seorang guru perempuan mendakwa ditendang diperut oleh seorang pelajar perempuan tingkatan 2, gara-gara ingin mendapatkan penjelasan daripada pelajar itu berkenaan perkataan 'gila babi' yang tertera di belakang folio pelajar tersebut. Kejadian berlaku disalah sebuah sekolah di Perlis. Yang hairannya, perbuatan tersebut dapat dirakam oleh pelajar lain di dalam kelas itu, tanpa memberikan bantuan atau berusaha untuk meleraikan kejadian tersebut. Apakah nilai yang telah diletakkan oleh adik-adik kita ini kepada orang yang telah mencurahkan ilmunya kepada proses pendewasaan kita?

Bro tidak mahu prejudis, terhadap kejadian ini. Bagi bro, guru tetap guru. Macam anggapan ibu tetap ibu walau apapun yang telah mereka lakukan kepada kita, walau kita rasa perbuatan itu bukan dalam konteks perkara yang kita suka. Memang ada ketikanya kita tidak suka atau benci pada seseorang guru. Normal le tu. Bro dulu pun pernah membuat guru kecewa dengan tindakan dan perlakuan bro yang amat nakal. Tapi, belum pernah terdetik di dalam hati untuk memukul atau mencederakan guru. Sebab bro fikir, apabila kita lakukan sesuatu perkara yang tidak baik, natijahnya pada masa akan datang. Ianya bukan janji, tapi pasti. Biasalah, kalau guru ada membuat perkara yang kita tidak suka. Bukan mudah untuk menjaga hati dan perasaan semua pelajar yang ada. Guru pun manusia, tidak lepas dari melakukan kesalahan. Kita sendiri pun pernah menyakitkan hati kawan-kawan. Bezanya, mereka belum membuat keputusan untuk memukul kita. Hehe.

Adik-adik yang bro sayangi seluruh Malaysia,
Anda adalah pewaris, penyambung warisan bangsa. Bro tahu, adik-adik banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur yang tidak baik. Banyak kerugian yang kita perolehi apabila biadab dengan guru. Keberkatan hilang, masa depan boleh terjejas, dangkal pada ilmu, 'sakinah' hilang, pendek kata banyak lagi nikmat boleh tiada. Bagi guru pula, selepas kejadian, pasti memberikan tekanan yang sangat hebat. Perasaan nak mengajar pasti terjejas kerana rasa terguris belum padam dalam hati. Nila setitik, rosak susu sebelanga. Kerana seorang, satu kelas dapat kesannya.

Buat guru semua, ini cabaran kita hari ini. Tugas kita sama, cuma bidang berlainan. Janganlah berhenti mengajar kerana takut pada ancaman. Biasalah, nak buat sesuatu perkara yang baik bukan mudah. Mereka anugerah kita yang paling besar. Tanggungjawab, harus dijalankan dengan profesional. Mungkin akan ada yang berkata, "cakap senanglah, yang rasa kami semua". Kalau kita fikir, ramai juga guru yang bersara dengan rasa bangga. Mungkin, dah sampai masanya kita mengubah kaedah@gaya mengajar kita agar lebih menarik dan seronok. Andai kata kita mati didalam melaksanakan tugas-tugas ini, ganjaran tidak ternilai dari Allah pasti diperolehi. Saat ini juga, saya masih terkenang semua guru-guru saya sejak dari tadika sehingga IPT. Yang jelas kuat ingatan saya lebih kepada guru-guru yang rapat dengan saya. Sekolah rendah, saya pernah kena tumbuk dengan guru, rotan tu kira biasalah. Sekolah menengah, rotan, kena perlekeh guru. IPT, kalimah dari seorang lecturer yang melabel kami sebagai kambing makan plastik, sebab tak faham-faham apa yang diajarnya. Semuanya saya telan dan menjadikan saya lebih kuat dan tabah hari ini.

Akhirnya, sekali lagi untuk adik-adik, hormatilah guru anda sebaiknya. Kita tak dapat sumber ilmu, kalau bukan datang dari guru kita. Mereka lebih ikhlas menjadikan kita insan. Biarkan mereka tunaikan tanggungjawab mereka pada kita sebaiknya tanpa ada gangguan emosi. Kepada semua guru-guru saya, halalkanlah ilmu yang pernah anda beri kepada saya. Teguran anda, kritikan anda, kasih sayang anda, tetap utuh di dalam hati. Atas dasar inilah, saya meneruskan perjuangan kalian dalam wadah yang berbeza. Restuilah saya, dalam dunia motivasi ini yang sangat saya cintai...
(terutama guru-guruku yang pernah mengajar di SK Bukit Rambai, SM Methodist ACS Melaka, SMK Klebang Besar, SMK Sri Tanjong Melaka, MRSM Muar serta pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Kimia, UTM).

Tiada ulasan: